Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berpendapat tindakan Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengadakan ceramah tentang kes itu hanyalah untuk menjelaskan perkara sebenar.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, tindakan Muhammad Shafee adalah untuk menjelaskan kes tersebut bukanlah satu konspirasi seperti didakwa oleh pihak tertentu.

“Terpulang kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjemput beliau memberikan ceramah dan beliau tidak boleh disekat. Pihak pembangkang pun asyik menuduh (kes liwat Anwar) adalah satu konspirasi,” Ahmad Maslan berkata kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua penerangan bahagian UMNO Kedah hari ini.

Semalam, Muhammad Shafee mengadakan siri jelajah dinamakan ‘Sejenak Bersama TS Shafee Abdullah’ di Permatang Pauh, bagi menjelaskan penghakiman Kes Liwat II terhadap Anwar.

Ceramah tersebut dianjurkan oleh sebuah NGO.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.