KUALA LUMPUR: Orang ramai disaran merebut peluang menikmati diskaun 30 peratus bagi tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) sebelum tempoh pembelian berakhir 30 April.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tawaran itu boleh dinikmati dengan menggunakan kod promosi MADANI30 melalui aplikasi KITS Style, kios tiket atau laman sesawang rasmi mereka.
Advertisement
“Dengan hanya memasukkan kod MADANI30 semasa pembelian, pengguna boleh menikmati penjimatan bagi perjalanan ETS untuk semua sektor dan ERT bagi laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral.
“Diskaun ini sah untuk perjalanan dari 15 April hingga 14 Okt sekali gus memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal termasuk bagi tujuan kerja, pulang ke kampung atau percutian,” menurut kenyataan itu.
Diskaun itu layak dinikmati pemegang tiket biasa untuk perjalanan Isnin hingga Khamis kecuali cuti sekolah dan cuti perayaan.
KTMB memaklumkan sebanyak 15,839 kod promosi ditebus setakat semalam, mencerminkan keyakinan tinggi rakyat terhadap kualiti perkhidmatan yang disediakan.
Inisiatif yang dilaksanakan bersama-sama Kementerian Pengangkutan bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada pengangkutan rel yang lebih mampan serta selesa selain mempertingkatkan keterhubungan antara bandar dan wilayah.
-- BERNAMA