JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan dalam mengangkat Tingkatan Enam sebagai prauniversiti dan pemerkasaan Institut Pendidikan Guru (IPG) menuntut kematangan baharu bidang pendidikan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata prasarana semata tidak memadai dalam keadaan dunia ketika ini yang digerakkan oleh teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan yang serba pesat.
Advertisement
“…malah yang harus kita bangunkan adalah bakat, perisian, akhlak dan nilai kemanusiaan," katanya dalam hantaran di Facebook bersempena dengan kunjungan ke Johor hari ini.
Lantaran itu, Anwar berkata cita-cita sebuah negara yang MADANI mesti membina ekonomi yang teguh.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu mesti diseimbangkan dengan usaha membentuk masyarakat berilmu, bijak dan adil sama ada di kota, desa, pedalaman mahupun estet.
Perdana Menteri berkata cendekiawan besar Islam Ismail al-Faruqi turut merumuskan bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW tidak semata membentuk satu corak masyarakat tetapi juga melahirkan satu generasi unik, iaitu jilul quraniyul farid yang berteraskan iman, nilai dan kecintaan terhadap ilmu.
Anwar turut meluluskan peruntukan RM200,000 bagi keperluan IPG Kampus Temenggong Ibrahim di sini sebagai antara usaha memperkasa bidang pendidikan yang bermutu untuk semua.
-- BERNAMA