BANGKOK: Terdapat petunjuk bahawa tiga negara anggota ASEAN tidak akan hantar wakil mereka ke perbincangan tidak rasmi pada hari Ahad untuk 'libat urus semula' dengan Myanmar, seperti yang dicadangkan oleh kerajaan sementara Thailand.

"Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, tidak akan datang ke Bangkok. Tidak akan ada wakil dari Malaysia," kata sumber kepada Bernama.

Reuters melaporkan bahawa Indonesia selaku Pengerusi ASEAN telah menolak untuk menghadiri mesyuarat yang dicadangkan dan Kementerian Luar negeri Indonesia berkata bahawa mereka "tidak mengetahui" mengenai jemputan itu.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, dalam sidang media bersama dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, di Washington, berkata 'terlalu awal untuk libat urus semula dengan junta pada peringkat persidangan ataupun peringkat menteri luar' kerana tidak ada petunjuk keadaan di Myanmar pulih selepas lebih dari dua tahun.

Kementerian Luar Thailand juga enggan mengulas mengenai perbincangan tidak rasmi itu.

Laman web berita Myanmar, The Irrawaddy, sebelum ini melaporkan bahawa Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai, dalam sebuah surat mencadangkan untuk menganjurkan pertemuan tidak rasmi bersama Myanmar pada 18-19 Jun.

Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada kenyataan sebuah negara anggota ASEAN" semasa sidang pemimpin di Indonesia pada bulan Mei yang menyatakan bahawa sudah tiba masanya bagi blok ini untuk "libat urus semula sepenuhnya dengan Myanmar pada peringkat pemimpin", kata surat itu.

"Jika pertemuan menteri tidak rasmi ini mencapai kemajuan positif yang ketara, kami ingin mencadangkan agar pertemuan pemimpin berjalan seterusnya," kata surat itu menurut The Irrawaddy.

Sejak junta menggulingkan kerajaan sivil pimpinan Aung San Su Kyi dalam kudeta pada 1 Feb 2021, Myanmar telah menyaksikan ketidakstabilan dengan konflik antara orang awam dan angkatan bersenjata berlaku berulang kali.

5PC, yang disepakati ASEAN pada April 2021 selepas kudeta tentera itu adalah; menghentikan keganasan dengan segera; mengadakan dialog dengan semua pihak yang berkepentingan; melantik seorang utusan khas untuk memudahcara mediasi; membenarkan delegasi mengunjungi dan berjumpa dengan pihak berkepentingan di Myanmar; dan membenarkan ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Bagaimanapun, memandangkan terdapat hanya sedikit kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan 5PC, pemimpin junta Myanmar telah dihalang daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi ASEAN.

Sejak kudeta tentera, lebih daripada 3,600 orang awam telah terbunuh, lebih daripada 19,000 ditahan, dan lebih daripada 1.8 juta orang telah hilang tempat tinggal atau melarikan diri dari negara itu, mengikut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP).

-- BERNAMA