GERIK: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang mayatnya dijumpai di atas jalan di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini hari ini, tiada unsur jenayah.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, keputusan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati, tiada kesan tusukan senjata ke atas mangsa.


Sebaliknya, kata beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah akibat dilanggar.


“Kita percaya mangsa mungkin dilanggar kenderaan berat seperti lori.


"Ketika ditemui, mangsa hanya memakai tuala dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya mahupun berhampiran lokasi kejadian," katanya.


Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan berkenaan, tampil bagi membantu siasatan.


Menurutnya, setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang yang boleh dikaitkan dengan mangsa.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti lelaki itu dan kenderaan yang melanggarnya. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.


Terdahulu, mayat seorang lelaki dengan kesan kecederaan parah di seluruh badan dijumpai di atas jalan di laluan Jeli menghala ke Gerik oleh orang awam sekitar jam 8 pagi.


Lelaki disyaki pejalan kaki itu dipercayai menjadi mangsa langgar lari oleh kenderaan yang belum dikenal pasti.