KEPALA BATAS: Marriott International terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia menerusi pembukaan rasmi The Bertam Penang Hotel, a Tribute Portfolio Hotel, hotel keempat di bawah jenama Tribute Portfolio di negara ini.
Hotel yang terletak di Kepala Batas itu menandakan transformasi bekas Bertam Resort kepada sebuah hartanah hospitaliti yang kini berada dalam rangkaian global Marriott Bonvoy, sekali gus memperluas penawaran penginapan bertaraf antarabangsa di tanah besar Pulau Pinang.
Dengan 282 bilik dan suite, hotel berkenaan menyasarkan pelancong perniagaan, keluarga serta pelancong rekreasi, selain memperkukuh kedudukan utara Semenanjung sebagai destinasi pelancongan dan acara berskala besar.
Naib Presiden Serantau Indonesia dan Malaysia, Marriott International, Ramesh Jackson berkata, The Bertam Penang Hotel mencerminkan identiti Tribute Portfolio yang menekankan keunikan, pengalaman autentik dan hubungan yang lebih dekat dengan destinasi setempat.
“Pelancong masa kini mahukan pengalaman penginapan yang mempunyai identiti tersendiri. Tanah besar Pulau Pinang menawarkan sisi berbeza yang masih belum diterokai sepenuhnya dan kami berbesar hati mengalu-alukan The Bertam sebagai hotel Tribute Portfolio keempat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Fokus segmen MICE dan pelancongan keluarga
Sebagai antara tarikan utama hotel itu, Grand Ballroom tanpa tiang mampu menampung sehingga 1,800 tetamu pada satu-satu masa serta dilengkapi skrin LED 270 darjah, menjadikannya lokasi sesuai untuk persidangan, pameran, majlis korporat dan acara sosial berskala besar.
Kemudahan lain termasuk beberapa bilik seminar, ruang pra-fungsi yang luas serta glasshouse bagi acara eksklusif dan berskala kecil.
Hotel itu turut menawarkan pengalaman rekreasi bersepadu menerusi taman tema air yang terletak bersebelahan premis berkenaan, sekali gus menjadikannya destinasi mesra keluarga yang menggabungkan penginapan, hiburan dan aktiviti santai dalam satu lokasi.
Bagi segmen kesihatan dan kesejahteraan pula, tetamu boleh menikmati kemudahan pusat kecergasan moden serta Kechmara Enhanced Wellness & Spa yang menawarkan pelbagai rawatan berasaskan teknologi dan pendekatan holistik.
Reka bentuk berinspirasikan Maghribi
The Bertam Penang Hotel mengetengahkan identiti seni bina berinspirasikan Maghribi dan Moorish yang diterjemahkan menerusi penggunaan lengkungan ikonik, motif geometri, jubin hiasan serta pencahayaan berkonsepkan tanglung.
Reka bentuk tersebut dipadankan dengan sentuhan dalaman kontemporari bagi mewujudkan suasana yang unik sambil mengekalkan elemen keramahan Malaysia sebagai identiti utama hotel berkenaan.
Selain penginapan, hotel itu menawarkan pilihan makanan dan minuman menerusi beberapa jenama restoran dan kafe termasuk Café Chef Wan, Me'nate Steak Hub, Palace of Flavours, Cafetiere Lounge dan Citrus Bar.
Potensi tanah besar Pulau Pinang terus berkembang
Kedudukan hotel di Kepala Batas memberi akses kepada beberapa destinasi pelancongan dan warisan sekitar Seberang Perai seperti Taman Arkeologi Guar Kepah, Kampung Agung, Frog Hill dan Setia Fontaines Heritage Park.
Lokasinya juga hanya kira-kira 45 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan 20 minit ke Jambatan Pulau Pinang, menjadikannya pilihan strategik untuk pelancong domestik dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu berkata, penyertaan hotel itu dalam Tribute Portfolio merupakan langkah penting dalam usaha meletakkan The Bertam Penang Hotel sebagai destinasi hospitaliti yang berbeza dan berdaya saing di utara Malaysia.
Menurutnya, gabungan identiti seni bina yang unik, kemudahan rekreasi dan kesejahteraan bersepadu serta layanan hospitaliti Malaysia diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa.
Sementara itu, Pengurus Besar The Bertam Penang Hotel, Fadzil Ibrahim berkata, transformasi hotel tersebut membuka lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan tarikan kawasan tanah besar Pulau Pinang kepada pasaran global.
Beliau berkata, langkah itu selari dengan komitmen hotel untuk menawarkan pengalaman penginapan berkualiti tinggi sambil menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan hospitaliti di wilayah utara negara.