Tiada virus H7N9 di kesan pada unggas hidup di negara ini setakat ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Abdul Aziz Jamaluddin.

Beliau berkata jabatan itu telah menjalankan program pemantauan terhadap unggas hidup dan sehingga kini 41,882 haiwan daripada spesis burung dan ayam diperiksa.

Hasil pemeriksaan itu mendapati unggas hidup di negara ini bebas daripada virus H7N9, katanya sambil memberitahu bahawa program pemantauan akan perluas untuk meliputi lebih banyak kawasan sehingga akhir tahun ini.

Dr Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata program pemantauan itu dijalankan di pelbagai lokasi yang menempatkan unggas hidup, antaranya ladang dan kawasan ternakan ayam dan itik, taman burung, kawasan persinggahan burung liar, pasar basah, kedai ternakan haiwan serta pintu masuk sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia.

Beliau berkata jabatan itu juga telah memaklumkan secara rasmi kepada Persekutuan Persatuan Ladang Ternakan Malaysia berhubung tindakan kerajaan menghentikan sementara import hasil ternakan dari China.

Malaysia telah mengenakan larangan sementara sejak 23 April lepas ke atas semua import ayam dari China selepas satu kes H7N9 dilaporkan di wilayah Shandong.

Dr Abdul Aziz berkata sebelum larangan sementara itu dikenakan, terdapat 98 kontena ayam nyahtulang beku dari China dalam perjalanan ke negara ini.

Sejumlah 41 dari 98 kontena dari lima syarikat memproses ayam itu telah diperiksa secara menyeluruh dan mendapati semuanya negatif virus H7N9, katanya.

Beliau berkata jabatan juga menggantung sementara import unggas hidup temasuk ayam dari semua rantau Asia, Afrika Selatan dan Mexico sejak 15 April lepas.

Kenyataan itu berkata sehingga kini China melaporkan kes H7N9 di lapan wilayah negara itu dengan 31 kematian di kalangan manusia.