Tiada warden bertugas malam Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri - Bekas PK HEM

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai. - Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa tiada seorang pun warden asrama bertugas pada malam Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri.
Ringkasan AI
- Bekas PK HEM SMKA Tun Datu Mustapha nyatakan tiada warden asrama bertugas ketika Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri.
- Asni Marjan dedahkan warden yang tidak bertugas pada hari kejadian dilantik JPN tanpa elaun.
- PK HEM beritahu bahawa beberapa guru dilantik sebagai guru asrama tanpa perbincangan, jadual warden dan guru asrama juga tidak dibincangkan dengannya.
Saksi ke-57 itu berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai pengendali inkues Mohd Fairuz Johari pada prosiding kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Mohd Fairuz turut mempersoalkan bagaimana guru asrama tanpa elaun boleh menjalankan tugas setara warden berbayar dan Asni menjawab 'atas dasar tanggungjawab'.
Asni juga memaklumkan bahawa beliau tidak pasti sama ada ketua warden asrama Rezany Mohd Taupek merupakan lantikan JPN atau pentadbir sekolah.
Ketika Mohd Fairuz mengemukakan surat pelantikan Rezany, Asni mengesahkan bahawa pelantikan itu tidak sah kerana Rezany bukan lantikan JPN, sebaliknya dilantik oleh pentadbir sekolah.
Pada prosiding sebelum ini, pengawal keselamatan Lina Mansoding @ Jaliha, 65, mengesahkan beliau yang menemui Zara Qairina selepas dimaklumkan oleh seorang pelajar dan beliau yang memaklumkan perkara itu kepada ketua warden melalui panggilan telefon.
Pada prosiding hari ini, Asni berkata beliau biasanya memantau tugasan warden melalui buku laporan, namun tidak mengingati catatan dalam buku tersebut pada 15 Julai, iaitu malam kejadian.
Mengenai insiden 16 Julai, Asni berkata beliau menerima panggilan daripada ketua warden pada kira-kira 3.25 pagi, namun tidak ke lokasi kerana memberikan kepercayaan kepada ketua warden menguruskan keadaan sebelum beliau sendiri ke hospital.
"Seingat saya, saya hanya pergi ke lokasi kejadian pada hari ketiga. Selepas subuh pada 16 Julai, saya berada di hospital sehingga malam.
"Pagi keesokan hari, ada perbincangan dan saya banyak menyantuni ibu bapa. Untuk makluman, sehinggalah saya dipindahkan ke PPD, hampir setiap hari saya berjumpa dengan ibu dan ayah pelajar...saya tidak mengabaikan tanggungjawab saya," katanya dalam nada sebak.
Mengenai penutupan telefon awam di asrama selama 48 jam susulan insiden menimpa Zara Qairina, saksi berkata beliau tidak tahu siapa yang memberikan arahan kepada ketua warden untuk bertindak sedemikian.
Mengenai siasatan dalaman yang dikendalikan unit disiplin sekolah, Asni berkata beliau tidak tahu berapa kali siasatan itu dibuat dan hasil siasatan yang dimaklumkan kepadanya adalah mengenai perjumpaan pelajar senior dengan arwah.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, saksi berkata beliau ada bertemu dengan ibu mangsa pada hari kejadian di hospital, selain di malam pengebumian dan ketika kunjungan ziarah ke rumah arwah.
Shahlan: Ada memaklumkan kepada ibu Zara Qairina mengenai siasatan dalaman sekolah?
Asni menjawab "tidak, kes ini masih dalam siasatan, kami perlu berhati-hati".
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung esok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


