Mana dia seorang manusia yang lebih istimewa dari Nick Vujicic, warga Australia berketurunan Serbia yang terkenal berkemampuan tinggi walaupun dilahirkan tanpa tangan atau kaki yang sempurna.

Pertama kali, saya terserempak dengan nama Nick Vujicic adalah pada tahun 2012 di laman Facebook.
Saya terpegun melihat video beliau. Saya menitiskan airmata sepanjang video tersebut kerana tidak menyangka dalam banyak masalah yang pernah saya alami, tidak pula pernah saya memikirkan ada orang istimewa seperti beliau yang mengalami pengalaman susah sejuta kali lebih teruk.

Vujicic lahir di Melbourne, Australia hanya mempunyai dua tapak kaki kecil, di mana satu daripadanya mempunyai dua jari kaki. Walaupun mempunyai keadaan fizikal yang berbeza dengan manusia lain, beliau masih boleh berjenaka, “Saya tidak mempunyai kaki mahupun tangan namun saya mempunyai satu paha ayam.”

Nick dibesarkan oleh ibu-bapa yang menghujani hidupnya kasih sayang dalam dirinya dan sentiasa menganggap beliau sebagai seorang yang sempurna. Mereka juga menyekolahkan beliau di sekolah biasa bersama-sama dengan budak sekolah yang lain. Di sekolah beliau senantiasa ditertawakan oleh rakan sekolahnya. Menurutnya, setiap kali ada individu yang mentertawakannya, sudah ada 10 lagi yang telah berbuat demikian. Sebagai budak kecil siapalah yang tidak berasa sedih sekiranya ditertawakan. Oleh itu tertanamlah perasaan sedih dan kurang keyakinan dalam diri beliau.

Perasaan untuk menamatkan kehidupnya bermula sewaktu berumur nlapan tahun. Dua tahun kemudian pula beliau cuba membunuh diri dengan melemaskan diri di dalam tab mandi.

Namun, pada suatu hari dia telah bangkit semula untuk menempuh kehidupan daripada perspektif yang berbeza apabila dia telah ditegur oleh seorang rakan perempuan sekolahnya. Ayatnya berbunyi, “Anda kelihatan menawan hari ini.” Sejak dari hari itu beliau telah memberanikan diri untuk menerima diri seadanya.

“Saya bangkit semula menghadapi cabaran dunia, menerima kekurangan saya sebagai kekuatan saya,” kata Nick di mana beliau telah mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang telah berkumpul sejak pukul 7.30 pagi lagi swaktu berceramah di Malaysia. Ceramah motivasi yang dianjurkan secara percuma oleh Jeffrey Cheah Foundation dan Sunway University diadakan pada 22 Mei ini sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk membawa masuk lebih ramai penceramah bertaraf dunia ke Malaysia.

Menurut Elizabeth Lee, Pengarah Eksekutif Kanan Sunway University dan Sunway Education Group, peserta bagi ceramah kali ini adalah yang teramai pernah hadir.

Nick bukan sahaja menggunakan kekuatannya untuk membantu dirinya malah beliau mempunyai impian untuk meluaskan pengaruhnya agar orang ramai boleh menjadi sepertinya untuk menerima segala pengalaman buruk yang menimpa diri sebagai satu cabaran bukan untuk terus menamatkan hidup kerana,”Kita hidup bukan untuk mati,” kata Nick.

Menurutnya, beliau berjaya bangkit untuk menerima kekurangan dirinya bukan kerana ibu mahupun bapa ataupun saudara maranya tetapi kerana kata galakan daripada seorang pembantu sekolah yang memberitahunya,”Anda patut menjadi seorang penceramah.”


nick vujicic

Bermula daripada detik itu, beliau yang semasa itu berusia 19 tahun bertekad untuk menyampaikan kepada orang ramai agar tidak memberi fokus kepada perkara buruk yang telah berlaku. “Alihkan fokus itu kepada perkara yang positif kerana kita tidak mungkin dapat melihat masa depan kita, oleh itu kita patut menghadapi cabaran dengan tabah,” katanya.

Walaupun berkeadaan serba kekurangan, beliau tetap boleh melakukan aktiviti seperti orang biasa seperti sukan luncur air, berenang, golf, mengemudi bot laju, menyanyi dan juga berlakon.

Persoalan yang sering tertanya dalam diri beliau semasa kecil adalah sama ada beliau akan mempunyai kehidupan seperti orang biasa, iaitu mempunyai pekerjaan, beristeri dan seterusnya mempunyai anak sendiri. Jawapan beliau termakbul apabila mendapat ijazah berganda lalu melayakkan dirinya untuk pergi ke Amerika Syarikat, lantas berkenalan dengan isterinya yang berbangsa Korea (Kanae) dan mendapat anak lelaki pertamanya tahun lepas yang bernama Kiyoshi yang kini berumur 3 bulan.

nick vujicic

Beliau telah melawat 46 buah negara dan berhasrat untuk menjelajahi sebanyak 69 lagi yang lain untuk menyampaikan kepada dunia bahawa seseroang itu perlu menghargai kehidupan dan bangun setiap kali menghadapi sebarang kesusahan.

Beliau juga mempunyai hasrat untuk mengadakan ucapan secara siaran langsung di Malaysia bagi menyebarkan inspirasinya agar semua orang dapat merasakan bahawa dunia kita tetap indah sekiranya kita mempunyai HARAPAN. Beliau yang akan terbang ke Vietnam sebaik sahaja habis majlis di Sunway untuk menyampaikan ceramah secara langsung berharap untuk kembali ke Malaysia Ogos tahun ini.

10 perkara yang saya pelajari daripada Nick Nujivic:

1. Menjadikan semua orang sebagai kawan

2. Sedekah kepada orang ramai, bukan dari bentuk kewangan sahaja tetapi dalam bentuk kasih dan
sayang

3. Jangan sesekali mentertawakan orang lain

4. Jangan bergosip

5. Menyatakan “Saya mencintai anda” kepada orang lain

6. Kita dilahirkan di bumi ini untuk kelanjutan hidup bukannya untuk mati

7. Menghargai setiap orang di sekeliling anda

8. Menggunakan semua kekurangan anda dengan menjadikannya kekuatan

9. Memberi kasih dan sayang kepada yang memerlukannya

10. Dan yang terakhir, berkongsi dengan orang ramai