PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini melepaskan dan membebaskan tiga sahabat termasuk seorang wanita daripada pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya sehingga kini tidak dijumpai.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Mohd Zulhiami Md Darus, 37, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 32, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Okt 2019, yang menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Tengku Maimun dalam penghakiman ringkasnya berkata peguam-peguam perayu telah menimbulkan beberapa isu dan mahkamah ini mendapati isu utama yang dibangkitkan adalah sama ada perayu-perayu dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

"Setelah mendengar hujah peguam perayu-perayu dan pendakwa raya serta meneliti alasan penghakiman dan rekod rayuan, kami berpuas hati bahawa keseluruhan perbicaraan berlangsung dengan cara yang tidak menepati undang-undang. Hal ini memprejudiskan perayu-perayu dan mengakibatkan sabitan terhadap mereka tidak selamat.

"Oleh itu, kami membenarkan rayuan ketiga-tiga perayu. Perintah oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan diketepikan dan ketiga-tiga perayu dilepas dan dibebaskan (daripada pertuduhan)," kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Selepas mahkamah memberikan keputusan, Mohd Zulhiami dan Muhammad Rahmat dilihat berpelukan manakala Siti Nor Asiah yang terkejut dengan keputusan itu mengalirkan air mata.

Tiga sahabat itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 April 2022 yang mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Okt 2019.

Pada asalnya, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, yang ketika kejadian berusia 21 tahun di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang antara 12.30 tengah malam dan 1 pagi pada 29 Ogos 2016, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Muhammad Rahmat pula didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada pukul 4 pagi, di lokasi dan hari sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pertuduhan itu dipinda di akhir kes pendakwaan dengan waktu kejadian bagi pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh adalah pada 4 pagi dan tarikh ditukar kepada 30 Ogos 2016.

Terdahulu, peguam Kitson Foong, mewakili Mohd Zulhiami berhujah bahawa pihaknya hanya mengetahui mengenai pindaan tarikh dan waktu kejadian selepas meneliti rekod rayuan.

"Pindaan itu dibuat oleh hakim bicara Mahkamah Tinggi selepas membenarkan permohonan pendakwaan tanpa sebarang pemberitahuan. Pihak peguam tidak dimaklumkan terdapat pindaan dan ketiga-tiga tertuduh juga tidak tahu mengenai perkara itu.

"Jika pindaan dibuat, pertuduhan sepatutnya dibacakan semula kepada anak guam dan pengakuan perlu direkodkan selain mereka boleh memanggil saksi untuk pembelaan," katanya.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, mewakili Siti Nor Asiah, yang mengguna pakai hujahan Foong berkata hakim bicara (Mahkamah Tinggi) telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila gagal mempertimbangkan bahawa saksi utama pendakwaan, Zairul Noraidi Shahidin adalah rakan sejenayah dan perkara itu turut diakui oleh peguam Fahri Azzat yang mewakili Muhammad Rahmat.

Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd Khaja dan Aida Khairuleen Azli mewakili pendakwaan selaku responden.

-- BERNAMA