Kemusnahan serta kerugian luar biasa akibat bencana banjir di utara semenanjung Malaysia mengingatkan semua pihak mengenai perlunya kesedaran dan pendidikan dalam mendepani banjir.

Bah yang melumpuhkan Pulau Pinang menyaksikan kemusnahan yang luar biasa sehingga meragut nyawa dan merosakkan harta benda.

Ketika artikel ini ditulis, pihak berkuasa serta agensi yang terlibat sedang meneliti nilai kerugian kemusnahan akibat bah kali ini.

Menurut Penyelidik Data Sains Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Ku Ruhana Ku Mahamud, kesedaran terhadap bencana alam perlu diterapkan di peringkat awal kerana bencana boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Ramalan cuaca diambil berat oleh nelayan dan pihak yang mengurus feri di laut, namun saya berpendapat ada dalam kalangan masyarakat di darat tidak mengambil berat terhadap ramalan cuaca,

“Dahulunya kita memang ada pendidikan keselamatan jalan raya dan kebakaran, kita juga boleh terapkan pendekatan sama dari segi keselamatan bencana," katanya semasa ditemubual AWANI Rangers UUM di pejabatnya, hari ini.


Tambahnya, pengetahuan mengenai bencana menjadi semakin kritikal berikutan perubahan yang berlaku susulan daripada pemanasan global.

“Kita ada pelbagai bencana yang akan berlaku lebih kerap disebabkan global warming, angin dan taufan jadi kita perlu memberi pendidikan tentang bencana kepada anak-anak sejak di sekolah supaya mereka tahu bertindak sekiranya berdepan detik cemas seperti banjir," katanya.


* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers UUM Amir Faruqi Mohd Fadzli.

**AWANI Rangers UUM adalah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Utara Malaysia (UUM).