Usaha membangunkan negara tidak perlu mengorbankan alam sekitar sehingga mengakibatkan perubahan iklim, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya sebagai sebuah negara membangun, usaha melestarikan iklim boleh menjadi sebahagian dari pertumbuhan negara dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

“Sebagai negara membangun, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan ekonomi dan mengawal perubahan iklim dengan bekerjasama dengan negara-negara membangun lain,”

“Dan Malaysia merupakan bukti, ekonomi dan alam sekitar boleh maju bersama,” kata Najib semasa merasmikan Persidangan dua hari “Energy For Tomorrow” anjuran International New York Times di sini.

Menurut Najib, Malaysia mempunyai kelebihan struktur yang akan membolehkan negara ini memanfaatkan sebarang perubahan akan datang.

Negara membangun sebelum ini berpendapat mereka tidak boleh diharapkan untuk menangguhkan keperluan pembangunan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Malaysia bagaimanapun mampu melakukannya dengan polisi pelepasan karbon dan pengunaan teknologi hijau serta pendekatan pengurangan pengeluaran karbon melalui subsidi minyak.

Polisi tersebut turut menyokong pengangkutan awam seperti projek MRT yang direka antara lain adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Tambah Najib, sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia menyokong penuh usaha membina pertumbuhan yang mampan terhadap iklim dan terus bekerjasama dengan negara lain.

"Tahun depan, Malaysia akan memainkan peranannya. Kita akan menyertai perundingan di Paris, dan optimistik memperoleh tenaga yang lebih mesra pada masa akan datang.

"Bukan sahaja lokasi persidangan ini sesuai, malah masanya juga tepat," katanya.

Namun disebalik itu katanya lagi, insiden banjir lumpur di Cameron Highlands akibat pembersihan tanah secara haram baru-baru ini bertentangan dengan apa yang cuba dicapai selama ini.

Perdana Menteri berkata Kuala Lumpur akan melangkah ke tahun tindakan perubahan iklim dunia menjelang Rundingan Paris PBB 2015 dan sudah pun mula menunjukkan tanda pertama melupakan strategi rundingan yang buntu pada masa lepas.

Rundingan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dijadual berlangsung di Lima, Peru dua minggu akan datang.

Beliau turut memperakui bahawa semuanya sudah sedia untuk perundingan itu dan untuk memastikan ia berjaya, kerajaan, perniagaan dan rakyat perlu bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan yang berlaku dalam era ekonomi tenaga baharu ini.