Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada keperluan untuk beliau berdamai dengan pemimpin yang dikaitkan dalam konflik dalaman parti khususnya dengan timbalan beliau, Datuk Seri Azmin Ali.

Menurut beliau, sebagai satu parti, beliau percaya semua pemimpin matang dan berpengalaman dalam memperkuatkan parti yang terbesar mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.

"Bagi saya memang damai, saya lihat kongres setakat ini lebih 75 peratus akan hadir, dua pertiga bukan sahaja memenuhi korum tapi melebih.

"Perbincangan saya terbuka, saya jumpa Ahli Parlimen, ketua negeri dan tidak kira kumpulan mana tapi tidak ada perbincangan khusus agenda untuk berdamai kerana parti ini satu.

"Saya percaya mesyuarat akan diadakan dengan baik, Datuk Seri Azmin akan rasmikan wanita, wanita akan berikan penghormatan sesuai, Datuk Seri Wan Azizah rasmikan pemuda, kita minta kongres ini akan menyaksikan satu penyertaan cukup setakat ini kelihatan hampir 80 peratus perwakilan hadir petanda baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen pada Isnin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai mengulas isu yang dikaitkan dengan parti tu menjelang Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 5 Disember ini.

Beliau berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mengukuhkan parti yang diasaskan sejak 1999 itu meskipun usaha itu terjejas dengan beberapa kemelut yang melanda PKR.