Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati tiadanya keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan isu status kewarganegaraan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan peruntukan dan syarat yang perlu dipatuhi sebelum seseorang dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

"Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa kanak-kanak untuk merujuk kepada negara asal masing-masing bagi mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri mereka," kata KDN dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat di sini.

Ramkarpal ingin tahu sama ada kerajaan bercadang meminda undang-undang sedia ada untuk membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan (stateless) didaftarkan secara automatik sebagai warganegara sah.

Menurut KDN adalah tidak wajar jika seseorang itu mendakwa dirinya sebagai 'stateless' kerana penentuan kewarganegaraan seseorang antaranya berdasarkan kepada status ibu atau bapanya.

"Dalam hal ini, mana-mana kelahiran yang berlaku di Malaysia yang telah didaftarkan sebagai bukan warganegara bukanlah merujuk kepada 'stateless' kerana terdapat maklumat semasa kelahiran yang menunjukkan ibu atau bapanya adalah warga asing," kata KDN.