JOHOR BAHRU: Melanggar kenderaan yang dipandu mangsa, mengepung dan melakukan rompakan.

Itu modus operandi sekumpulan individu yang menyerang ahli perniagaan menggunakan parang dan melarikan wang tunai RM10,000 di hadapan Teega Tower, Iskandar Puteri, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, susulan video tular itu, polis telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek di Horizon Hill pada pukul 10.15 pagi pada hari yang sama kejadian itu berlaku.

"Penahanan lelaki itu, membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek pada pukul 9 malam di Gelang Patah.

"Hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku terlibat bagi kes tersebut dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakannya menggunakan parang.

"Pihak polis telah membuat beberapa rampasan termasuklah parang yang digunakan serta kenderaan.

"Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan dijalankan. Kita percaya masih ada tiga lagi rakan suspek yang masih bebas," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rahmat berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 45 tahun dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan jenayah suspek berkenaan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian dikehendaki tampil ke IPD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

"Mangsa yang merupakan peniaga dalam talian itu mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah ditetak mangsa berulang kali dilaporkan stabil setelah mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan)," katanya.

Terdahulu tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan insiden tersebut yang kelihatan tiga individu bersenjatakan parang menyerang mangsa yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.

Mangsa cuba melarikan diri namun dua buah kereta disyaki rakan suspek menghadang kenderaan tersebut.

Dalam video itu, kelihatan salah seorang suspek berjaya melarikan bungkusan yang dipercayai mengandungi wang tunai berjumlah RM10,000 dari tempat duduk belakang kenderaan itu.