Tidak sampai 24 jam didakwa di mahkamah atas kesalahan dadah dan membayar RM7,500 sebagai ikat jamin, seorang lelaki kurang upaya (OKU) sekali lagi berkas dalam Op Tapis di Batu Rakit, Terengganu.

Penganggur yang berusia 23 tahun itu diberkas di hadapan sebuah rumah dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Batu Rakit, kira-kira jam 11.15 malam Ahad.

Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui beg sandang yang mengandungi sebuah botol plastik berisi kira-kira 10 biji pil berwarna merah, disyaki dadah.

Hasil ujian saringan awal mendapati, suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek direman selama empat hari bermula Isnin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Difahamkan suspek baharu sahaja didakwa di mahkamah pada Ahad kerana kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dikenakan denda sebanyak RM7,500 atas kesalahan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian tersebut.