KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak kisah dengan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pendapatnya, namun meminta agar dirinya tidak difitnah.

Anwar mengakui dirinya bukanlah "Tok Guru", justeru jika ada sebarang kesalahan, beliau terbuka untuk ditegur secara baik.

"Kita boleh berbeza pendapat tapi jagalah adab. Sokong Pas, tak apalah jangan gaduh, saya tak benci dia, itu hak dia," katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Manir dan Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Manir dekat sini, malam ini.

Katanya lagi, walaupun diuji dengan pelbagai kesulitan termasuk dipenjarakan, beliau tidak kisah dengan perkara yang sudah lepas itu dan memaafkan segalanya.

"Saya dalam hidup bukan senang, masuk keluar penjara hampir 11 tahun. Kena pukul setengah mati dalam lokap. Dimalu, diaib dan difitnah. Tapi saya kata takpa lah, saya maafkan.

"Kita kena tau fitnah tak boleh... Allah uji dah, jadi Perdana Menteri nak zalim nak sakau tak guna. Sebab tu saya tak ambil gaji sebab saya malu orang susah ramai, nak cari makan pun susah," katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata pihaknya yakin bahawa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini akan memihak kepada gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dan meminta rakyat memberi kerjasama sewajarnya kepada Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA