Skip to main content

Malaysia

Tiga aduan media dirujuk kepada Panel Aduan MMM buat pertama kali

Sumber: MAJLIS MEDIA MALAYSIA
Tiga aduan berkaitan media dirujuk kepada Panel Aduan Majlis Media Malaysia (MMM) buat pertama kali sejak Mekanisme Aduan MMM mula beroperasi, menurut kenyataan MMM hari ini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga aduan berkaitan media dirujuk kepada Panel Aduan Majlis Media Malaysia (MMM) buat pertama kali sejak Mekanisme Aduan MMM mula beroperasi, menurut kenyataan MMM hari ini.

Menurut kenyataan itu ketiga-tiga aduan tersebut, merupakan sebahagian daripada empat aduan yang masih dalam proses setakat 30 Jun lepas, selepas Sekretariat MMM menerima 14 aduan rasmi sepanjang suku kedua tahun ini.

“Sebanyak 10 daripada 14 aduan telah diselesaikan menjelang akhir suku kedua, manakala tiga daripada baki empat aduan yang masih terbuka telah dirujuk kepada Panel Aduan MMM yang baharu ditubuhkan dan kini sedang dalam proses pertimbangan.

“Panel Aduan beroperasi sebagai projek rintis selama setahun dengan struktur keanggotaan secara bergilir-gilir, melibatkan wakil organisasi media, wartawan yang sedang berkhidmat, pertubuhan masyarakat sivil serta pakar luar mengikut bidang kepakaran,” menurut kenyataan itu.

MMM dalam kenyataan memaklumkan bahawa panel berkenaan diwujudkan bagi mempertimbangkan aduan yang kompleks atau dipertikaikan secara bebas, khususnya kes yang tidak dapat diselesaikan melalui libat urus dua hala dan proses pendamaian.

Menurut kenyataan itu sepanjang tempoh 1 April hingga 30 Jun lepas, Sekretariat MMM menerima 14 aduan rasmi berbanding lima pada suku pertama, mencerminkan peningkatan kesedaran awam mengenai mekanisme aduan MMM susulan pelaksanaan Fasa Kedua Mekanisme Aduan MMM.

Aduan yang diterima melibatkan isu etika yang berulang serta isu baharu termasuk pelaporan kes bunuh diri, pemeliharaan privasi dan maruah individu yang meninggal dunia serta anggota keluarga, kandungan yang didakwa tidak berperikemanusiaan atau menghasut kebencian terhadap komuniti pelarian Rohingya serta kesilapan memetik kenyataan tokoh awam.

“Sekretariat MMM juga meneliti isu baharu berkaitan penggunaan imej yang dijana kecerdasan buatan (AI) dalam kewartawanan, serta pendedahan maklumat peribadi dalam laporan prosiding mahkamah.

“Sebahagian besar aduan berjaya diselesaikan melalui libat urus secara langsung antara Sekretariat MMM dan organisasi media terbabit, dengan beberapa organisasi mengambil tindakan meminda, membetulkan atau menurunkan kandungan yang menjadi pertikaian tanpa perlu dirujuk kepada peringkat seterusnya”, menurut kenyatan itu.

Laporan Suku Tahunan Aduan MMM bagi suku kedua 2026 boleh diakses orang ramai menerusi laman sesawang rasmi Majlis Media Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement