Skip to main content

Sukan

F1 perlu diputuskan sebelum Selasa sama ada pindah perlumbaan ke Imola

Konflik dan ketegangan di Asia Barat mendorong F1 mempertimbangkan untuk mengadakan hanya satu perlumbaan di Imola sebagai alternatif. - Gambar fail/Bernama
Konflik dan ketegangan di Asia Barat mendorong F1 mempertimbangkan untuk mengadakan hanya satu perlumbaan di Imola sebagai alternatif. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SAO PAULO: Keputusan sama ada perlumbaan penutup musim Formula Satu (F1) akan diadakan di Litar Imola, Itali, bagi menggantikan perlumbaan di Asia Barat perlu dibuat selewat-lewatnya Selasa, menurut laporan Motorsport Media pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Musim F1 dijadualkan berakhir dengan perlumbaan di Qatar pada 29 Nov dan Abu Dhabi seminggu kemudian.

Bagaimanapun, konflik dan ketegangan di Asia Barat mendorong F1 mempertimbangkan untuk mengadakan hanya satu perlumbaan di Imola sebagai alternatif, walaupun secara terbuka masih menyokong penganjuran perlumbaan di Qatar dan Abu Dhabi.

Advertisement

Penganjur di wilayah Emilia-Romagna, Itali, perlu mengetahui secepat mungkin sama ada mereka perlu mengambil alih penganjuran perlumbaan berkenaan.

Selepas Selasa, masa yang tinggal tidak lagi mencukupi untuk membuat persiapan yang diperlukan.

Advertisement

Ketua Pasukan Haas F1 Ayao Komatsu turut mengesahkan tarikh akhir Selasa itu, menurut penyiar ESPN.

Jika dipilih sebagai lokasi alternatif, Imola akan menjadi tuan rumah perlumbaan pada Disember.

Langkah itu juga akan memberi peluang kepada juara dunia baharu Mercedes, Kimi Antonelli, untuk beraksi di laman sendiri.

Sekiranya tarikh akhir bagi Imola berlalu dan ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sehingga Grand Prix Qatar dan Abu Dhabi tidak dapat diadakan atas faktor keselamatan, musim F1 mungkin berakhir lebih awal pada 21 Nov di Las Vegas.

Bagaimanapun, menurut ESPN, Formula Satu telah memberi jaminan kepada pasukan bahawa sekurang-kurangnya 22 perlumbaan akan diadakan musim ini.

Jika Las Vegas menjadi perlumbaan penutup musim, jumlah keseluruhan perlumbaan hanya 21.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement