Tiada keperluan untuk mengembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, ini kerana tiga akta sedia ada sudah cukup untuk mengekang sebarang aktiviti keganasan di negara ini termasuk ancaman daripada militan IS.

Tiga akta itu adalah Akta Pencegahan Jenayah Pindaan dan Pemerluasan 2013, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA).

"Kita ada akta yang bagus untuk tangani kegiatan ekstremisme yang mendorong ke arah keganasan.

“Jadi kita fikir tidak ada keperluan untuk diguna pakai semula ISA terutamanya dalam menangani isu keganasan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Forum Crime Matters bersama wakil rakyat di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini, hari ini.

Tambah khalid, pihaknya akan terus memberikan penerangan mengenai ancaman sebenar militan IS agar tiada pihak yang terpedaya dengan idelogi mereka.

"Polis akan meneruskan perancangan bagi memastikan ancaman IS dapat dikekang sepenuhnya.

"Ini kerana masih terdapat rakyat yang tidak mempercayai ancaman IS ini dan menganggap ia satu drama atau sandiwara kerajaan semata-mata," katanya.

Setakat ini, polis telah menahan lebih 100 individu kerana dipercayai terlibat dengan militan IS manakala 66 individu dilaporkan berada di Syria dan Iraq.

Khalid berkata masyarakat atau ibu bapa harus tahu keupayaan IS untuk mempengaruhi anak muda, selain menyasarkan ibu tunggal dan orang bermasalah.

Katanya orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan IS kepada polis sekiranya melihat aktiviti yang mencurigakan di sekitar kawasan tempat tinggal mereka.

Turut hadir dalam forum itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri II Masir Kujat dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.