KUALA LUMPUR: Keadilan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, terus diperjuangkan oleh ahli-ahli keluarga dan para penyokong bekas Perdana Menteri itu.

Tiga anak Najib - Datuk Mohd Nizar; Datuk Mohd Nazifuddin; serta Nooryana Najwa berkongsi pentas dalam program Demi Najib, We Stand by You yang berlangsung pada Sabtu malam, antaranya menuntut agar bekas Presiden UMNO itu diberikan ruang untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, selain “dikembalikan” dengan segera.

Mohd Nizar, yang merupakan anak sulung kepada Najib berkata, beliau kesal dengan sistem mahkamah yang didakwa tidak dijalankan dengan betul dalam memberikan pembelaan kepada bapanya.

Ia antaranya, kata beliau Najib “dibiarkan” tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam rayuan akhir, yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

“Ini bercanggah dengan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, di mana tertuduh sepatutnya diberi ruang sepenuh-penuhnya dan seluas-luasnya untuk membela diri tetapi ini tidak berlaku dalam kes ayahanda, Najib Razak.

“Satu perkara yang amat sedih dalam sejarah Malaysia,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Program  itu dihoskan oleh Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi.

.

Berucap lanjut, Mohd Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan berpandangan, sistem kehakiman negara perlu dirombak dan diperbaiki bagi mengelakkan individu lain menerima nasib sama seperti bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Saya menyeru dan merayu kepada Kerajaan Perpaduan agar perbetulkan sistem kehakiman kita.

“Kita tidak mahu mangsa-mangsa lain akan didakwa (walaupun) mereka tidak bersalah.

“Ya, tak kisahlah mantan Perdana Menteri ataupun rakyat Malaysia yang lain. Kalau kita tidak betulkan sekarang, ada yang akan jadi mangsa di masa hadapan,” tambah beliau.

'Kerajaan Perpaduan perlu lakukan perkara yang betul'

.


Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata, beliau tidak boleh “move on” selagi bapanya tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu mahu Kerajaan Perpaduan melakukan pembetulan moral agar rakyat di negara ini termasuk Najib mendapat hak asasi manusia dalam menegakkan keadilan.

“Kalau Malaysia sanggup letak mantan Perdana Menteri dalam penjara, siapa akan percaya kepada Malaysia? Ini bukan projek-projek dulu, yang dibatalkan lagi.

“Tapi kalau kita lihat seluruh rakyat Malaysia, rakan-rakan Datuk Seri Najib, yang tandatangan petisyen… daripada pemuda, mahasiswa, semua tak boleh ‘move on’. Sebab apa? Tak ada keadilan untuk Datuk Seri Najib.

“Kalau kita ada peluang ini, kita nak cakap kepada Kerajaan Perpaduan, lakukan perkara yang betul. Do the morally correcting (lakukan pembetulan moral),” jelas Mohd Nazifuddin.

Dalam pada itu, Nooryana atau lebih dikenali sebagai Yana berkata, sudah 14 bulan Najib menjalani hukuman penjara tetapi sehingga kini belum ada sebarang hasil dalam memberikan keadilan buat bapa beliau.

“Ada yang kata, Yana sabar… Nazif sabar. Kita sabar. Tapi jangan terlalu lama.

“Sudah 14 bulan beliau (Najib) dipenjarakan. Kami mahukan hasil, betul tak?,” soal Yana.

Selain itu, Yana juga meluahkan kekecewaan yang sama apabila mendakwa Najib dinafikan hak dalam mendapatkan pembelaan.

“Kalau kita minta penstriman langsung perbicaraan, ditolak… Peguam Diraja (dari United Kingdom) ditolak… kemukakan bukti baharu ditolak… dan pada rayuan akhir SRC (International Sdn Bhd), minta masa 10 minit nak tukar baju, itu pun ditolak. (Ia) seolah-olah tak sabar nak sumbat ayahanda ke penjara.

“Kejam… tuan, puan kejam. Sekarang di penjara mereka masih nak tekan lagi Datuk Seri Najib yang sedang hadapi tiga kes jenayah dan empat kes sivil.

“Kes LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) yang tidak munasabah masih dijalankan dan baru-baru ini kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pendakwaraya mohon untuk pinda pertuduhan. Sudah empat tahun perbicaraan bermula dan ramai saksi dipanggil, tiba-tiba mahu pinda pertuduhan. Adakah ini adil?,” katanya lagi.

Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International.

Beliau masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.