Tiga das tembakan yang dilepaskan di Kampung Cabang Tiga Bagus, Rantau Panjang pagi Isnin disebabkan marah pintu bilik hotel dipecahkan seorang lelaki.

Tembakan itu dilepaskan oleh tiga beradik pada jam 10.40 pagi selepas pintu bilik mereka dipecahkan seorang lelaki berusia 47 tahun, mencari isterinya yang hilang sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata lelaki itu terus masuk ke dalam keretanya selepas gagal menemui isterinya.

"Dengan tiba-tiba tiga beradik yang berusia 22 hingga 26 tahun itu menyerang mangsa menggunakan kayu belantan serta parang menyebabkan mangsa turut mengeluarkan parang.

"Disebabkan itu tiga das tembakan dilepaskan namun mangsa sempat mengelak dan peluru hanya mengenai keretanya," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Mangsa cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap dan diugut akan ditembak sebelum dia dipukul dengan kayu besbol serta pistol oleh suspek yang kemudiannya beredar.

Susulan insiden itu polis berjaya menahan tiga suspek berkenaan pada jam 10 malam Isnin dan merampas pistol jenis Luger, tiga peluru hidup, satu anak peluru dan kayu belantan.

Hasil soal siasat mendapati pistol itu dipinjam suspek daripada seorang rakan dari Thailand dan dari pemeriksaan lanjut yang dibuat, mangsa memiliki 11 rekod jenayah serta 10 rekod narkotik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.