ALOR GAJAH: Tiga lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) beroperasi di tiga daerah di Melaka dengan tawaran pelbagai menu makanan pada harga Menu Rahmah dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata lokasi berkenaan adalah di Taman Seri Cempaka di Melaka Tengah, Pekan Masjid Tanah di Alor Gajah dan Bandar Baru Merlimau di Jasin.

Beliau berkata setakat ini, 47 peniaga di ketiga-tiga BRR berkenaan secara sukarela berdaftar untuk menawarkan Menu Rahmah.

"Pemilihan lokasi BRR adalah berdasarkan aspek kawasan tersebut merupakan tumpuan rakyat berbelanja dan ia adalah lokaliti aktiviti ekonomi.

"Setiap lokasi Bazar Ramadan Rahmah menawarkan Menu Rahmah tersendiri dan sebagai contoh di BRR Pekan Masjid Tanah, 15 peniaga menjual makanan seperti nasi campur, nasi ayam, nasi lemak dan kebab," katanya kepada Bernama di BRR Pekan Masjid Tanah di sini semalam.

Beliau berkata pengunjung juga berpeluang menebus baucar e-dompet bernilai RM20 seorang di bawah Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan namun ia terhad kepada 1,000 pengunjung pertama di setiap lokasi BRR tersebut pada tarikh yang ditetapkan.

Katanya penebusan baucar berkenaan boleh dilakukan di BRR Masjid Tanah selama tiga hari iaitu 31 Mac serta 1 dan 9 April manakala di BRR Taman Seri Cempaka (7 dan 8 April) dan Bandar Baru Merlimau (14 dan 15 April).

Dalam perkembangan lain, Norena berkata KPDN Melaka menerima 28 aduan melibatkan isu kenaikan harga makanan yang agak ketara seperti kuih-muih dan air bungkus di bazar Ramadan dalam tempoh sembilan hari bermula 23 Mac lepas.

Beliau berkata pihaknya memandang serius aduan berkenaan dan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga terlibat susulan tindakan mereka menaikkan harga barangan jualan.

Sementara itu, katanya dalam tempoh sembilan hari ini juga, KPDN Melaka telah memeriksa 823 premis menjual makanan dan minuman termasuk di 14 bazar Ramadan di negeri itu melibatkan keanggotaan 40 orang.

-- BERNAMA