CHUKAI: Tiga individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kereta selepas sebuah daripadanya merempuh seekor gajah di Kilometer 160 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Jabor dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata kejadian pada 7.58 malam itu berlaku ketika Perodua Ativa dipandu Amirul Afiq Aazmi, 29, bersama isterinya Farhain Jolius, 23, dalam perjalanan dari arah Jerangau menuju Jabor.
"Setibanya di lokasi kejadian, seekor gajah melintas jalan dari arah kanan ke kiri menyebabkan pemandu tidak sempat membrek kerana jarak terlalu dekat sebelum melanggar haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan pagi ini.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu Wan Muhammad Faiz Fakhrullah Wan Muhammad Zainal, 31, yang datang dari arah belakang turut melanggar bahagian belakang Perodua Ativa berkenaan.
Katanya, mangsa Amirul Afiq mengalami luka ringan pada tangan dan Farhain cedera ringan pada kaki dan dada manakala Wan Muhammad Faiz Fakhrullah pula cedera di lutut.
"Kesemua mangsa menerima rawatan dan dua mangsa yang menaiki Perodua Ativa mendapatkan rawatan di Zon Hijau Hospital Kemaman," katanya.
Mohd Razi berkata Ativa berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan, kiri, kanan dan belakang manakala Myvi pula rosak di bahagian hadapan.
Beliau berkata polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka berkaitan kejadian itu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Rule 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1980 (LN 166/59),” katanya.
Sementara itu, Amirul Afiq dari Seri Kembangan, Selangor berkata keadaan jalan di lokasi kejadian gelap menyebabkan dia tidak dapat melihat gajah berkenaan lebih awal.
Dia dan isteri yang dalam perjalanan balik ke Pasir Putih, Kelantan selepas bercuti di Kuantan, Pahang bersyukur kerana terselamat dan mengalami cedera ringan berikutan insiden itu.
Pada 5 Ogos lepas, Bernama melaporkan sepasang suami isteri cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh di sini pada 10.20 malam.
-- BERNAMA