KUALA LUMPUR: Seramai tiga graduan daripada institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan menerima Anugerah Pingat Tunku baru-baru ini.

Mereka adalah Durra Nur Nazeera Roslaili, graduan jurusan Kewangan dan Ekonomi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Ng Yong Ming, graduan jurusan Kejuruteraan Perisian daripada Universiti Malaya (UM); dan Razman Durhan graduan jurusan Matematik dan Ekonomi daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ketiga-tiga pemenang anugerah ini telah berjaya memberi impak positif kepada komuniti daripada sudut kesukarelawanan, perancangan ekonomi, teknologi dan pembelaan hak serta suara siswa.

“Pencapaian tersebut telah melayakkan mereka sebagai penerima anugerah pada tahun ini,” menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Sementara itu, majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang di ibu negara pada Khamis.

Dalam ucapannya, Aaron berkata, signifikannya anugerah itu dengan Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) adalah untuk menutup jurang akses pendidikan kepada pelajar.

“YTAR telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberikan akses kepada pelajar dalam pemerkasaan pendidikan tinggi negara.

“Antaranya melalui 'Closing The Gap’ iaitu sebuah program bimbingan akses pendidikan tinggi untuk pelajar sekolah menengah.

“Oleh itu, kesemua penerima Anugerah Piala Tunku kini diiktiraf sebagai mentor perdana bagi program ini,” katanya.

Pada masa sama, cucu kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman merangkap Ahli Lembaga Yayasan, Datin Sri Sharifah Menyalara Hussein, menyifatkan anugerah itu melangkaui pengiktirafan dan menjadi pemacu kepada keberkesanan masa depan generasi akan datang.

“Penglibatan dalam penilaian Pingat Tunku merupakan proses yang saya hargai. Ia membolehkan saya mengkaji legasi, kejayaan, kegagalan dan impian generasi muda kita ketika mereka berusaha membentuk masa depan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri, komuniti mereka dan negara kita,” ujarnya.

Pemenang Anugerah Pingat Tunku (Emas) menerima wang tunai dan geran bernilai RM20,000 manakala pemenang Pingat Tunku (Perak dan Gangsa) masing-masing menerima wang tunai dan geran berjumlah RM14,000 dan RM10,000.