KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam dan dua pengarah syarikat direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima suapan berkaitan sebuah projek usahasama bagi pengeluaran pelitup muka yang dianggarkan bernilai RM9 juta.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa membenarkan tiga suspek berkenaan direman sehingga Isnin depan. 

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Penjawat awam berusia 59 tahun dan dua pengarah syarikat berusia 49 dan 51 tahun itu dipercayai menerima dan memberi suapan sebagai balasan mencadangkan pelaburan itu dalam usahasama dengan syarikat berkenaan untuk pengeluaran produk pelitup muka pada tahun lalu. 

Kesemua suspek ditahan di pejabat SPRM antara jam 2 hingga 4 petang Isnin  ketika hadir memberikan keterangan.

Nilai suapan masih dalam siasatan.