KATHMANDU: Ribuan penduduk di wilayah Everest kini berdepan risiko banjir selepas sistem amaran awal bernilai jutaan dolar, yang direka untuk melindungi komuniti tempatan daripada ancaman tasik glasier Imja, dipercayai tidak lagi berfungsi akibat kegagalan penyelenggaraan.
Pegawai Nepal mengesahkan kepada BBC bahawa sistem sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dibiarkan rosak sejak tasik Imja dikeringkan sebahagiannya pada 2016.
Advertisement
Penduduk komuniti Sherpa berkata tiada pemeriksaan dilakukan selama bertahun-tahun, menyebabkan menara siren berkarat, condong dan ada yang kehilangan bateri akibat kecurian.
Selain itu, sistem penerimaan data satelit yang memantau paras air tasik, penting bagi mengeluarkan amaran melalui telefon bimbit, dilaporkan berfungsi secara tidak konsisten, menurut Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal (DHM).
Tasik Imja, terletak lebih 5,000 meter dari paras laut, dikategorikan berisiko tinggi akibat pencairan glasier yang semakin pantas didorong pemanasan global.
Walaupun tasik itu tidak pecah sejak kerja pengurangan risiko bernilai AS$3.5 juta dijalankan sedekad lalu, pakar memberi amaran bahawa banyak tasik glasier di Himalaya kini semakin membesar dan berpotensi mengakibatkan banjir besar.
Penduduk tempatan meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan pihak berkuasa menyelenggara sistem berkenaan.
Mereka berkata sekiranya tasik Imja pecah, tidak hanya enam perkampungan terjejas, malah lebih 60,000 pelancong yang mengunjungi kawasan itu setiap tahun turut berisiko.
Pegawai DHM mengakui masalah kekurangan dana serta kegagalan kerjasama dengan pihak berkaitan menjejaskan keupayaan penyelenggaraan.
Siasatan juga mendapati stesen hidrometeorologi yang sepatutnya menghantar data masa nyata ke Kathmandu sering mengalami gangguan.
Walaupun PBB baru-baru ini meluluskan peruntukan baharu bernilai AS$36 juta bagi projek serupa di lokasi lain di Nepal, komuniti Sherpa berkata mereka masih terpaksa hidup dalam ketakutan.
“Mereka membelanjakan berjuta-juta dolar atas nama perlindungan, tetapi kami masih berdepan risiko kehilangan nyawa dan harta setiap hari,” kata seorang pemimpin komuniti tempatan.