OTSUCHI: Lebih 1,000 anggota bomba dikerahkan bagi memadamkan dua kebakaran hutan di utara Jepun yang memasuki hari keempat pada Sabtu, ketika api semakin menghampiri kawasan kediaman dan memaksa lebih 3,000 penduduk dipindahkan.
Kebakaran tersebut menjadikan keluasan kawasan terjejas antara yang terbesar pernah direkodkan di Jepun, negara yang menyaksikan peningkatan kejadian kebakaran hutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Advertisement
Kebakaran pertama bermula pada Rabu di kawasan pergunungan sebelum satu lagi tercetus berhampiran dan mengancam kawasan perumahan di bandar Otsuchi, Wilayah Iwate.
Usaha mengawal kebakaran terjejas disebabkan bentuk muka bumi berbukit, cuaca kering dan angin kencang, menurut pegawai jabatan bomba tempatan.
Sehingga Sabtu, kira-kira 730 hektar kawasan telah terbakar, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan melibatkan 1,541 isi rumah dan 3,233 penduduk, hampir satu pertiga populasi Otsuchi.
Bandar Otsuchi masih dihantui memori bencana gempa bumi dan tsunami Mac 2011 yang meragut hampir satu persepuluh penduduknya.
Seorang penduduk berusia 76 tahun, Taeko Kajiki, berkata kawasan itu tidak pernah terbakar walaupun ketika bencana besar tersebut.
Anggota bomba dibantu oleh helikopter dari beberapa wilayah serta Pasukan Pertahanan Diri Jepun, yang menjalankan operasi menyiram air dari udara bagi mengekang api daripada merebak.
Setakat ini, lapan bangunan termasuk sebuah rumah kediaman dilaporkan rosak atau musnah, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Datuk Bandar Otsuchi, Kozo Hirano, berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan tambahan serta menyediakan kemudahan seperti bilik mandi panas bagi mengurangkan tekanan penduduk yang dipindahkan.
Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan tiada hujan diramalkan di rantau berkenaan dalam tempoh seminggu, sekali gus menimbulkan kebimbangan kebakaran sukar dikawal.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa perubahan iklim menyumbang kepada peningkatan kekerapan kebakaran hutan, terutama pada musim awal bunga yang panas dan kering.