KUALA LUMPUR: Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pertuduhan ke atas ketiga-tiga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dibuat pada jam 9 pagi tadi di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi Johor.
Advertisement
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia telah menerima semula kertas siasatan melibatkan kematian kadet Palapes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mohd Khalid berkata, jika sabit kesalahan, mereka akan diperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Sehubunga itu, Ketua Polis Negara menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini memandangkan proses pertuduhan dan perbicaraan jenayah akan bermula, selaras dengan prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Kes kematian Allahyarham Syamsul Haris pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sebelum Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes itu disiasat semula sebagai kes bunuh.
Pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mengemukakan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai tahun lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapangan Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Bedah siasat kali kedua yang dijalankan kemudiannya menemui beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.