Menjadi tanggungjawab lebih tiga juta ahli-ahli parti mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menjadi 'belasahan' pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, ahli UMNO perlu mempertahankan Datuk Seri Najib yang sudah dipilih sebagai presiden parti.

"Kenapa kita hendak biarkan beliau bersendirian menepis serangan pembangkang?

"Tiga sayap parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri juga perlu bingkas berada di barisan depan mempertahankan maruah dan kredibiliti Najib selaku Presiden UMNO.

"Jangan hanya pandang dan tidak berbuat apa-apa dengan membiarkan presiden kita termasuk keluarganya dicaci, dihina dan difitnah oleh pembangkang, jangan berpeluk tubuh," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, Datuk Seri Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri sewajarnya dipertahankan kedudukannya kerana ahli-ahli parti telah memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau.

"Jika ada mana-mana ahli UMNO yang tidak menyokong dan mempertahankan kedudukan Datuk Seri Najib, ini bermakna mereka telah mengkhianati kepimpinan presiden.

"Saya telah beberapa kali mengingatkan ahli-ahli parti termasuk ketiga-tiga sayap supaya lebih agresif dan berani tampil mempertahankan presiden parti secara terbuka.

"Kita tidak boleh lagi berada dalam situasi senyap, kita kena lantang bersuara," jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi sebelum ini berkata tidak sanggup membiarkan Datuk Seri Najib berterusan dihina dan diserang bertubi-tubi dari segenap sudut.

Datuk Seri Zahid turut menegaskan, beliau mengambil pendekatan 'serangan balas' kerana mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib.

Menyokong ketegasan Datuk Seri Zahid, Syed Ali berkata apa yang diluahkan Timbalan Perdana Menteri itu mencerminkan keserasian gandingan kedua tokoh tersebut dalam mentadbir urus negara dan parti.

"Saya menyokong penuh peringatan Datuk Seri Zahid, ketegasannya adalah cermin hati beliau yang sentiasa teguh kepada pasak perjuangan dan setia kepada kepimpinan Datuk Seri Najib.

"Sudah sampai masanya seluruh ahli-ahli UMNO dan pemimpin di setiap peringkat bangun menentang pembangkang secara terbuka," ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan menambah, pembangkang tidak harus dibiarkan bermaharajalela untuk menabur fitnah dan serangan provokasi yang boleh merosakkan UMNO dan negara.

"Kita ada lebih tiga juta ahli-ahli UMNO, mengapa kita sentiasa berada dalam keadaan takut, resah dan segan kepada pembangkang, sepatutnya kita yang 'mengajar' mereka.

"Sepatutnya pembangkang perlu dilihat sebagai agen pemusnah perpaduan rakyat, pembohong dan suka mengadu-domba untuk mengemis sokongan rakyat.

"Kita kena beritahu rakyat, mereka (pembangkang) tidak ada memberi sebarang manfaat kepada rakyat, mereka kumpulan putar alam," jelasnya.

Oleh sebab itu tambahnya, kepimpinan Datuk Seri Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri perlu dipertahankan walau apa pun yang terjadi.

"Kita berikrar bahawa kita pejuang UMNO, pejuang rakyat, maka sekarang kita kena buktikan ikrar tersebut dengan mempertahankan presiden dan timbalan presiden yang menjadi serangan fitnah jahat pembangkang.

"Jangan ada mana-mana pihak sama ada dalam dan luar UMNO yang cuba meruntuhkan institusi parti.

"UMNO merupakan institusi orang Melayu dan mana-mana pihak yang cuba meruntuhkannya bakal berdepan dengan tentangan habis-habisan," katanya.