JOHOR BAHRU: Lima beranak termasuk tiga kanak-kanak terselamat dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Bandar Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Skudai dekat sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, kejadian tersebut berlaku semasa ibu bapa kepada tiga kanak-kanak tersebut tiada di rumah.

Menurutnya, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.37 petang berkata, bapa kanak-kanak tersebut keluar bekerja manakala ibunya pergi ke kedai membeli barang.

"Apabila berlaku kebakaran, ibu bapa kanak-kanak yang berusia tiga, enam dan lapan tahun bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan jiran.

"Lima beranak tersebut berjaya menyelamatkan diri dan tiada yang cedera. Susulan itu seramai 15 anggota dari BBP Skudai dan BBP Iskandar Puteri dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mereka dibantu dua jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah bilik di tingkat tiga, apartment lima tingkat dan musnah kira-kira 80 peratus.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada jam 4.56 petang. - Sinar Harian