KUALA BESUT: Tiga buah kedai sederet separuh kekal di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Seberang Kastam dekat sini terbakar dalam kejadian petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut Mohamad Jusoh berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4 petang itu membabitkan dua buah kedai makan dan sebuah kedai menjual peralatan bot nelayan.

"Kedai pertama dan kedai kedua yang merupakan kedai makan serta kedai menjual peralatan bot nelayan musnah 100 peratus manakala kedai ketiga juga sebuah kedai makan terbakar lebih 20 peratus.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya mengawal api daripada merebak ke keseluruhan kedai ketiga dan kebakaran berjaya dikawal pada 4.55 petang," katanya.

Mohamad berkata sebanyak 15 anggota membabitkan dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut dengan dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Jertih dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut Tengku Harun Tengku Ismail berkata ketiga-tiga premis tersebut adalah milik PNK Besut yang telah disewakan.

Difahamkan kebakaran bermula daripada kedai makan pertama disyaki berlaku litar pintas, katanya.

"Ketika kejadian, kedai makan pertama dan kedai peralatan bot nelayan tidak beroperasi tetapi kedai makan yang lagi satu sedang beroperasi dan terdapat beberapa orang pelanggan namun semuanya sempat menyelamatkan diri," katanya.

-- BERNAMA