SEMPORNA: Tiga lagi menara telekomunikasi akan dibina di Pulau Bum Bum, di sini bagi memastikan seluruh pulau menerima capaian Internet sepenuhnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata setakat ini pulau itu mempunyai sembilan menara telekomunikasi dan pembinaan menara baharu yang membabitkan Kampung Gelam-Gelam, Kampung Singgahmata serta Kampung Tabunan perlu disiapkan sebelum akhir tahun depan.

"Di sini (Pulau Bum Bum) perlu keseluruhan 12 menara kerana pulau ini besar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pastikan siapkan segera (menara) jangan tangguh... saya mahu siap sebelum akhir 2023, lagi cepat lagi bagus supaya jaringan Internet di sini lebih baik.

"Apabila menara baharu ini siap, sudah tentu membantu menyelesaikan masalah liputan jalur lebar yang dihadapi penduduk kampung," katanya ketika berucap selepas meninjau menara telekomunikasi di Kampung Kabimbangan, Pulau Bum Bum hari ini.

Annuar berkata penduduk kampung juga perlu memanfaatkan capaian Internet yang lebih baik itu dengan menambah pendapatan keluarga.

"Internet jangan kita guna sekadar telefon, WhatsApp, tidak cukup. Orang kampung mesti jadikan kegiatan ekonomi lebih baik kerana melalui kemudahan Internet, barang di Pulau Bum Bum pun boleh dijual di seluruh negara," katanya.

Beliau turut meminta MCMC mewujudkan satu lagi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Pulau Bum Bum bagi membantu anak muda dan penduduk untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi desa serta ekonomi digital.

"Apabila siap 12 menara dan ada PEDi, rakyat di sini akan dapat diperkenalkan dengan teknologi baharu serta terkini dan tambah pendapatan keluarga... ini tanda buah tangan saya kepada Semporna," katanya.

Sementara itu, Annuar turut mencadangkan supaya satu kempen 'Jangan Membuang Sampah Ke Laut' dilaksanakan di daerah ini.

"Itu khazanah Tuhan beri, jangan dirosakkan. Kalau dirosakkan, rezeki jadi pendek... ikan mati, penyu mati, keindahan bertukar, pelancong pun tidak mahu datang, saya sudah pergi merata dunia tapi sini sangat cantik, jangan hodohkan.

"Jangan tunggu kerajaan sahaja tetapi badan bukan kerajaan termasuk ketua kampung boleh lancar kempen jangan buang sampah ke laut, ini perkara yang semua orang boleh buat," katanya.

Annuar turut berharap penduduk Semporna dapat menjaga keindahan daerah itu yang terkenal sebagai pusat pelancongan.

-- BERNAMA