Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tiga lelaki ditahan miliki anak musang pandan tanpa lesen

Person in handcuffs with blurred police lights in the background at night: FOTO: ADOBE STOCK
Tiga lelaki ditahan kerana dipercayai memiliki dua ekor anak musang pandan tanpa lesen sah dalam Op Taring Wawasan di sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, lewat malam tadi. - Foto hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Tiga lelaki ditahan kerana dipercayai memiliki dua ekor anak musang pandan tanpa lesen sah dalam Op Taring Wawasan di sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, lewat malam tadi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 26 tahun itu ditahan pada 11.15 malam selepas pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah Perodua Axia yang dinaiki mereka.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan sebuah sangkar berisi dua ekor anak musang pandan di ruang kaki penumpang belakang kenderaan berkenaan.

“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah untuk memiliki hidupan liar berkenaan sebelum ketiga-tiga suspek ditahan bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dirampas ialah sebuah Perodua Axia dan sangkar haiwan, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua ekor anak musang pandan itu dianggarkan RM26,700.

Ahmad Radzi berkata siasatan awal mendapati suspek utama mengaku membeli haiwan berkenaan di Kubang Kerian pada harga RM50 seekor daripada seorang individu yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kenderaan yang digunakan pula didaftarkan atas nama kakak suspek utama dan dipercayai dipinjam dengan pengetahuan pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), manakala ketiga-tiga suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement