KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan semalam kerana disyaki memukul seorang pemandu e-hailing di Jalan 8/3 Jalan Pandan Perdana, Ampang dekat sini, pada 27 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan berkata kesemua yang berumur antara 25 hingga 48 tahun ditahan di sekitar Ampang dan Pandan Indah antara 7.30 hingga 9 malam selain polis merampas satu botol penyembur lada daripada mereka.

Beliau berkata dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, mangsa turun dari kediamannya di Jalan 9/10 Pandan Perdana dan pergi menemui seorang daripada suspek di Jalan Pandan 8/3 Pandan Perdana untuk meminta suspek meminta maaf atas perbuatannya memukul mangsa sebelum itu.

Bagaimanapun setibanya mangsa di tempat itu, seorang lelaki tidak dikenalinya yang turut berada di lokasi kejadian tiba-tiba mencekik lehernya.

Selepas dicekik, mangsa beredar dari situ, namun diekori suspek dan lima lelaki lain ke padang permainan di kawasan itu lalu mangsa dipukul menggunakan batang besi, disepak serta ditumbuk oleh suspek.

"Akibat kejadian, mangsa cedera di kening kiri, belakang badan dan kepala," katanya.

Mohd Azam berkata kesemua lelaki ditahan didapati positif terhadap ganja manakala dua daripada mereka memiliki enam kes jenayah lampau.

Mereka direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

-- BERNAMA