PUTRAJAYA: Tiga lelaki termasuk dua warga asing terselamat daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman daripada mengedar sembilan kilogram dadah jenis methamphetamine kepada memiliki bahan terlarang itu.

K. Dinakaran, 43, bersama warga Bangladesh, Asraful Alam, 28, dan rakyat India, Arivazhagan Murugesan, 50, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan rotan.

Mereka diarah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 13 Ogos 2016.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas mereka oleh Mahkamah Tinggi selepas memutuskan sabitan itu tidak selamat.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Hadhariah berkata pertuduhan terhadap ketiga-tiga lelaki itu cacat kerana tuduhan dinyatakan sebagai pengedaran menerusi pembuatan sedangkan ia sepatutnya dinyatakan sebagai penyediaan untuk membuat dadah.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi juga gagal untuk memberi arahan kepada tertuduh di akhir kes pendakwaan sama ada terdapat pemilikan sebenar atau dianggap pemilikan untuk mereka menyediakan pembelaan.

Beliau juga berkata penggunaan adverse inference adalah terletak atas budi bicara mahkamah dan terpakai selepas pendakwaan gagal memanggil atau menawarkan saksi utama kepada pihak pembelaan.

Hakim Hadhariah berkata mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk mengurangkan pertuduhan itu kepada memiliki dadah.

Dinakaran, yang merupakan pekerja rencam, Asraful, bekas pelajar dan Arivazhagan, seorang buruh kemudian mengaku bersalah terhadap terhadap pertuduhan itu.

Pada 2019, Mahkamah Tinggi mendapati mereka bersalah mengedar 9,179.34 gram methamphetamine di sebuah rumah di Jalan 3, Ampang, Selangor pada 12 tengah hari pada 13 Ogos 2016.

Peguam mereka, Afifuddin Ahmad Hafifi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 10 dan 15 tahun tetapi Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail mencadangkan hukuman penjara antara 18 dan 20 tahun berdasarkan berat dadah itu.

-- BERNAMA