KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan bermula 25 Jun sehingga 8 Julai.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan seramai 41 individu didapati positif COVID-19 hasil saringan ke atas 63 penduduk di lokaliti berkenaan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan berkuat kuasa 25 Jun sehingga 8 Julai 2021,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu PKPD turut dikenakan di Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, Sabah baqi tempoh yang sama.

Ini selepas 10 individu didapati positif hasil saringan 29 individu di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD melibatkan satu lagi lokaliti di Sabah iaitu di Kampung Kukut, Beaufort, Sabah yang juga bagi tempoh yang sama.

Jelasnya lagi, PKPD di kesemua kawasan berkenaan adalah bagi memudahkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan serta menyekat pergerakan keluar masuk bagi mengawal penularan.