BATU PAHAT: Tiga individu maut dipercayai lemas di dalam sebuah kenderaan di Hentian Rehat Yong Peng (arah selatan), Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, pada malam Selasa.

Komander operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II, KUP Suhairulair Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.59 malam.

Katanya, mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan, berusia 23 hingga 27 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir dan telah disahkan meninggal dunia.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat tiga orang mangsa terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Alza dan cermin kereta telah dipecahkan oleh orang awam sebelum PKO tiba.

"Mangsa juga telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia.

"Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut, manakala operasi ditamatkan pada jam 10.22 malam sejurus keadaan sekitar dipastikan selamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurutnya, seramai enam orang anggota bomba daripada BBP Pagoh, bersama sebuah jentera FRT diatur gerak untuk operasi menyelamat tersebut.