KLUANG: Tiga lelaki maut selepas Proton Wira yang dinaiki hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah van di kilometer (KM) 15, Jalan Kluang - Teck Wah Hing, di sini petang tadi.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu kereta jenis Proton Wira, Muhammad Haziq Haiqal Mohd Faizal, 20, dan penumpang belakang, Muhammad Khairil Rosli, 17.

Manakala penumpang hadapan kereta berkenaan, Ariffudin Khairum Ab Ghafar, 21, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (HEBHK) Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata ketiga-tiga mangsa termasuk seorang lagi yang cedera dalam perjalanan dari Kluang ke Renggam.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah van dari arah Renggam menghala ke Kluang.

“Manakala Proton Wira dinaiki mangsa dari arah bertentangan. Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.

“Akibat dari pelanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang Proton Wira mengalami kecederaan yang teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala penumpang hadapan Proton Wira meninggal dunia di HEBHK,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Bahrin, penumpang belakang iaitu Muhd Haziq Kamarul Azhar, 17, kini sedang menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama akibat patah kaki kiri.

“Pemandu van berusia 43 tahun bersama isterinya berusia 42 dan dua anak mereka masing-masing berusia 15 dan 11 tahun cedera dan menerima rawatan di HEBHK.

“Pemandu dan semua penumpang Proton Wira bekerja sebagai tukang gunting rambut di Kluang," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Shoromi Salih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.29 petang.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah van jenis CAM Placer dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Terdapat empat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Wira dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.

“Mangsa yang meninggal di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," tambahnya.