KOTA BHARU: Pengalaman lebih tiga dekad sebagai penggiat seni batik dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rosliza Muhammad, 59, dalam menyiapkan tiga pilihan persalinan dalam masa hanya tiga minggu, yang akhirnya terpilih untuk dipakai Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya, Isnin lepas.
Meskipun berasa bangga kerana diberi kepercayaan menghasilkan persalinan berkenaan buat tahun kedua berturut-turut, pemilik Lizza Creations itu mengakui perasaan gementar dan berdebar tetap ada lebih-lebih lagi perlu dihasilkan dalam tempoh singkat.
“Selain itu, saya juga perlu pastikan rekaan tahun ini berbeza daripada daripada tahun lepas. Jadi, saya perlu memikirkan kelainan terutama dari segi motif dan rekaan batik serta pemilihan warna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Rosliza berkata tempahan diterima kira-kira tiga minggu sebelum Hari Kebangsaan menerusi kenalannya yang juga pereka fesyen terkenal Datuk Radzuan Radziwill, yang mewakili pihak Raja Permaisuri Agong.
Beliau mengambil masa beberapa hari mencari ilham sebelum memulakan lakaran, dengan motif kerawang yang diinspirasikan daripada ukiran Melayu dipilih sebagai elemen utama bagi mengetengahkan identiti tradisional.
Beliau berkata unsur bunga raya dan Jalur Gemilang turut diterapkan dalam rekaan bagi mengekalkan tema sambutan Hari Kebangsaan.
“Proses menghasilkan rekaan bermula dengan lakaran menggunakan pensel di atas kain putih yang mengambil masa kira-kira lima hari, sebelum corak dilukis dengan teliti pada kain sutera menggunakan teknik canting dan lilin.
“Kerja mencanting merupakan bahagian paling rumit kerana sebarang kesilapan pada garisan atau corak boleh menjejaskan keseluruhan hasil dan perlu dibaiki semula,” katanya yang menjadikan minat melukis sejak kecil sebagai titik tolak menceburi bidang penghasilan batik.
Rosliza berkata proses mewarna dilakukan secara berperingkat, dengan kain perlu dikeringkan kira-kira sehari sebelum dilapisi semula dengan lilin untuk membolehkan warna bagi lapisan seterusnya diterapkan.
Beliau yang memiliki Ijazah Seni Reka Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata campuran pewarna Remazol termasuk Blue R dan Violet digunakan bagi menghasilkan tona biru yang lebih terang dan menyerlah seakan warna Jalur Gemilang.
Penghasilan tiga pilihan persalinan itu, katanya turut dibantu tiga pekerja iaitu Wan Nur Amira Wan Adnan, 35, Luqman Hakim Mohd Salim, 32, dan Nik Saiful Azri Nik Mohamad, 44.
Rosliza berkata selain Raja Permaisuri Agong, hasil tangannya turut mendapat tempahan daripada beberapa kerabat diraja serta golongan kenamaan lain.
Beliau berharap seni batik terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dan berkembang menerusi kreativiti serta rekaan baharu tanpa menghilangkan identiti Melayu.
-- BERNAMA