KUALA LUMPUR: Tiga penuntut universiti akan mewakili Malaysia dalam Kejuaraan Dunia Adobe Certified Associate (ACA) yang berlangsung secara maya pada akhir tahun ini.

Teo Sze Ting dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Tan Jia Yi (Universiti Malaya) dan Nur Nadirah Razali (Universiti Teknologi Swinburne) terpilih mewakili negara selepas muncul sebagai tiga peserta teratas pada Finale Akhir Kejohanan ACA Malaysia 2021 yang berlangsung di Facebook Live pada Khamis.

Berbeza dengan era sebelum penularan COVID-19, yang menyaksikan semua peserta berkumpul di sebuah dewan bagi menghasilkan rekaan mereka dalam tempoh lapan jam, finale akhir tahun ini dilakukan melalui platform sembang berkumpulan secara digital dengan Pemeriksa ACA meneliti hasil kerja peserta menerusi Livestream.

Kejohanan ACA Malaysia 2021 turut memperkenal 'Anugerah Perdana' yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan ruang untuk memilih rekaan kegemaran beliau untuk menerima anugerah berprestij itu.

Bagi anugerah yang julung kali diperkenal itu, karya seni Imran Shafiq Mohd Zain dari Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam telah dipilih sebagai pemenang daripada 30 peserta terbaik.

Kejohanan ACA Malaysia anjuran Creative Cloud Community (CCC) menyediakan platform kepada pelajar jurusan Seni dan Reka Bentuk mempamerkan karya masing-masing di pentas yang lebih besar selain membuka banyak peluang untuk mereka seperti mendapatkan pekerjaan.

Pertandingan itu terbuka kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah menengah, kolej dan politeknik.

-- BERNAMA