KUALA TERENGGANU: Tiga lagi bangkai penyu Agar ditemukan di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Pantai Kijal, Kemaman dan satu di Pantai Kelulut, Marang dalam tempoh tidak sampai 25 jam.

Pemajak telur penyu Roslan Muhammad, 54, berkata, bangkai pertama ditemukan anaknya Muhammad Aqil, 21 pada 7.30 pagi semalam di Pantai Kijal dengan kesan luka di bahagian leher.

"Hari ini, saya pula terjumpa bangkai penyu pada pukul 8.15 pagi tadi ketika sedang berada di pantai Kijal untuk melakukan kerja-kerja mengutip telur penyu.

"Ia ditemui pada jarak lima kilometer dari lokasi semalam. Saya anggarkan usia penyu ini antara 25 hingga 32 tahun dan ada kesan jerutan di bahagian tengkuknya dipercayai akibat terperangkap dalam pukat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau yang telah menjadi pemajak telur penyu sejak 15 tahun lepas berkata kebiasaannya akan menjumpai antara 20 hingga 30 bangkai penyu setiap tahun di beberapa pantai sekitar Kemaman.

"Memang sangat sedih sebab berita kematian penyu ini semakin kerap dilaporkan. Apalah maknanya langkah mengharamkan penjualan dan memakan telur penyu sekiranya penyu dewasa yang boleh menghasilkan banyak telur mati begitu sahaja.

"Kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk menyiasat punca kematian ini dan mengambil tindakan tegas terhadap nelayan yang masih menggunakan pukat yang dilarang ketika berada di laut bagi mengelak masalah ini berulang," katanya.

Sementara itu, Pengasas Konservasi Penyu Marang, Rani Awang berkata, pihaknya menerima laporan penemuan bangkai penyu Agar di Pantai Kelulut, Marang pada pukul 10 malam tadi.

"Perkara ini sangat merunsingkan kami kerana hampir setiap hari kematian penyu dilaporkan. Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kami sangat sedih dengan situasi yang berlaku ketika ini kerana kerja pemuliharaan di daratan yang berjaya seperti sia-sia seiring dengan peningkatan kematian penyu di lautan," katanya.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat ketika dihubungi Bernama pula berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung kes kematian penyu di negeri itu. - BERNAMA