KOTA KINABALU: Seramai tiga pesakit mata pulih penglihatan selepas mendapat sumbangan organ daripada seorang lelaki yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat masalah perubatan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, proses pemindahan kornea Finno Joitol, 54, telah dipersetujui oleh pihak keluarga selepas dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ.

Proses transplan kornea yang didermakan itu juga katanya berjaya memulihkan penglihatan tiga pesakit yang masing-masing menghadapi masalah kornea kiri dan kanan.

"Kornea yang didermakan juga berjaya ditransplan dan memulihkan penglihatan tiga pesakit iaitu kornea kanan kepada seorang penerima, dan kornea kiri dibahagian kepada dua orang penerima.

"Pihak keluarga turut berbesar hati supaya kisah pendermaan ini boleh menjadi dorongan kepada orang ramai khususnya masyarakat di Sabah supaya tampil menjadi penderma organ," ujar Rose Nani dalam satu kenyatan media.

Pada masa sama, Rose Nani turut mengucapkan takziah kepada keluarga Finno atas pemergian beliau serta merakamkan penghargaan terhadap kemuliaan penderma dan seluruh ahli keluarga atas sumbangan terhadap pesakit yang memerlukan.

Beliau turut mengingatkan orang awam yang ingin menderma organ agar mendaftar diri sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini. JKNS menyeru orang ramai agar menjadikan kemuliaan para penderma organ dan keluarga mereka sebagai teladan.

"Pendaftaran sebagai pengikrar penderma organ juga boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera", Rose Nani menambah.