SEREMBAN: Tiga lelaki yang videonya tular kerana membaling mercun ke dalam rumah seorang warga emas di Taman Senawang Jaya di sini pada Sabtu lalu telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kesemua suspek berusia 14 hingga 16 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini pada malam Isnin.
Advertisement
Menurutnya, mereka telah direman selama empat hari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
“Mereka direman bermula hari ini hingga 20 Februari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan memiliki atau membakar mercun tanpa kebenaran,” katanya. - Sinar Harian