NATIONAL
Tiga sindiket sekitar Lembah Klang tumpas, polis rampas dadah RM16 juta

Rusdi (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Khamis. - Foto Moganraj Villavan
KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di Lembah Klang dengan merampas 443.7 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis, bernilai lebih RM16 juta.
Ringkasan AI
- Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang, dengan rampasan keseluruhan sebanyak 443.7kg dadah bernilai lebih RM16 juta.
- Sindiket menggunakan kenderaan sebagai stor simpanan sementara, selain menyembunyikan dadah di lot kedai dan kondominium untuk mengelak dikesan.
- Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
Menjelaskannya, beliau berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan pada 2 Mei lalu melibatkan penahanan dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Filipina berusia 41 dan 31 tahun.
Katanya, pemeriksaan terhadap dua buah kereta jenis Honda City dan Honda Civic di Jalan Memanda 1, Ampang dan Jalan Madrasah, Taman Melati membawa kepada rampasan 197 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 205kg.
"Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6.56 juta dan disyaki diperoleh dari Kelantan sebelum digunakan kenderaan sebagai stor simpanan sementara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Tambah Rusdi, sindiket itu dipercayai menerima bekalan dari Kelantan sebelum disimpan dalam kenderaan dan diedarkan sekitar Lembah Klang.
"Ini dipercayai kali pertama mereka beroperasi di sini (Kuala Lumpur) dan kedua-dua suspek direman 10 hari bermula 30 April hingga 9 Mei ini," katanya.
Dalam serbuan kedua pada Isnin lalu pula, Rusdi berkata seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 1.86 gram syabu.
"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah di Jalan Imbi yang dijadikan stor dadah.
"Pemeriksaan lanjut menemukan 221kg syabu dianggarkan bernilai RM7.07 juta. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Februari dan menyimpan dadah di lokasi tumpuan awam bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dan positif dadah methamphetamine itu direman enam hari hingga 11 Mei," ujar beliau.
Sementara itu, dalam serbuan ketiga pula, dilakukan pada 6 Mei melibatkan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 23 dan 33 tahun di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara.
"Turut dirampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, pil dan serbuk ecstasy serta Erimin 5 seberat 17kg bernilai RM2.38 juta. Polis juga menyita wang tunai RM320,250 dan dua buah kenderaan mewah," jelasnya.
Rusdi berkata, keseluruhan rampasan dalam tiga serbuan ini boleh menampung kegunaan kira-kira 3.2 juta penagih pada satu-satu masa.
Kesemua mereka kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Katanya, pihaknya sedang mengesan rangkaian sindiket dan aset yang dimiliki suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami