Seorang penganggur direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut berhubung kes tikam dan bunuh melibatkan anak saudaranya yang berusia tiga tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Azman Mustapha bermula hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Kemaman kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

Sebelum ini seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan ditikam oleh bapa saudaranya menggunakan pisau pemotong sayur.

BACA: Kanak-kanak perempuan 3 tahun maut ditikam di dada oleh bapa saudara


Kejadian berlaku kira-kira jam 1 petang semalam di Felda Cerul Dua Kemaman.

Suspek yang berusia 26 tahun itu dikatakan menikam mangsa di bahagian dada.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.