KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban selepas sebuah feri penumpang yang membawa puluhan penumpang karam dan tenggelam di Sungai Nil, menurut laporan media antarabangsa pada Khamis.
Insiden tragis itu berlaku ketika feri berkenaan dipercayai membawa sekitar 30 penumpang sebelum hilang kawalan dan terbalik.
Advertisement
Media tempatan Sudan melaporkan bahawa feri tersebut beroperasi di antara kawasan Tayba al-Khawad dan Deim al-Quray di negeri River Nile.
Menurut rangkaian perubatan Sudan Doctors Network, sebahagian mangsa terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Setakat ini, sekurang‑kurangnya 15 mayat ditemui, manakala maklumat awal daripada sumber keselamatan Sudan menyebut jumlah korban boleh meningkat hingga 21 orang.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan melibatkan pasukan penyelamat serta penduduk setempat.
Antara enam hingga lapan orang dilaporkan terselamat, namun angka sebenar belum dimuktamad kerana beberapa mangsa masih belum ditemui.
Keadaan sungai yang bergelora serta ketiadaan langkah keselamatan asas didakwa menjadi faktor penyumbang kepada tragedi itu.
Laporan turut menyebut bahawa feri di kawasan berkenaan sering membawa penumpang melebihi kapasiti, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Pasukan perubatan dan pihak berkuasa merayu agar pasukan penyelamat khusus, bot penyelamat serta peralatan pencarian tambahan digerakkan segera bagi mempercepat usaha mengesan mangsa hilang.
Mereka turut menggesa kerajaan negeri meningkatkan keselamatan pengangkutan air bagi mengelakkan kejadian sama berulang.