Skip to main content

Malaysia

TikTok terima lebih 20,000 permintaan kerajaan serata dunia untuk sekat, turun kandungan

TIKTOK USER
Menurut TikTok, setiap permintaan akan dinilai berdasarkan Garis Panduan Komuniti, Terma Perkhidmatan serta undang-undang tempatan sebelum sebarang kandungan dipadam, disekat atau dihadkan aksesnya. - Foto Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: TikTok menerima sebanyak 20,175 permintaan daripada kerajaan di 102 negara untuk mengalih keluar atau menyekat kandungan serta akaun pengguna sepanjang separuh kedua 2025.

Memetik Government Removals Request Report yang diterbitkan platform media sosial itu menunjukkan permintaan tersebut melibatkan 113,261 kandungan yang dilaporkan kepada TikTok untuk tindakan lanjut.

Menurut TikTok, setiap permintaan akan dinilai berdasarkan Garis Panduan Komuniti, Terma Perkhidmatan serta undang-undang tempatan sebelum sebarang kandungan dipadam, disekat atau dihadkan aksesnya.

Daripada keseluruhan 102 pasaran atau negara yang direkodkan, Malaysia mengemukakan 6,302 permintaan, melibatkan 51,095 kandungan.

Menurut laporan itu, 28,131 kandungan diambil tindakan kerana melanggar Garis Panduan Komuniti, manakala 12,539 lagi dikenakan tindakan berasaskan pelanggaran undang-undang tempatan.

Laporan itu turut menunjukkan TikTok memenuhi kira-kira 72.2 peratus daripada permintaan kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan.

TikTok menjelaskan sekiranya sesuatu kandungan tidak melanggar Garis Panduan Komuniti tetapi didapati menyalahi undang-undang sesebuah negara, akses kepada kandungan berkenaan mungkin dihadkan di pasaran tersebut.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan permintaan yang didapati tidak sah di sisi undang-undang atau tidak melanggar Garis Panduan Komuniti serta Terma Perkhidmatannya akan ditolak.

Laporan ketelusan itu diterbitkan sebagai sebahagian daripada usaha TikTok meningkatkan ketelusan terhadap cara platform berkenaan mengendalikan permintaan kerajaan untuk mengalih keluar atau menyekat kandungan di seluruh dunia.

Must Watch Video

Advertisement