Polis hari ini digesa menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo bahawa dia telah berjumpa dengan anggota
politik pembangkang dari Malaysia untuk menjual maklumat sulit syarikat itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata penjualan maklumat sulit itu tidak sepatutnya berlaku.

"Penjualan maklumat ini tak sepatutnya berlaku. Saya nak komen lebih pun saya tak tahu. Jadi kita minta polis siasatlah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Khamis lepas, Polis Thailand mendedahkan bahawa pemimpin pembangkang bertemu dengan Justo di Singapura untuk membeli maklumat sulit milik syarikat itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula dipetik sebagai berkata rakyat Malaysia yang terbabit akan dipanggil memberi keterangan berhubung pendedahan terbaharu polis Thailand hasil siasatan terhadap Justo.