Skip to main content

Malaysia

Tindakan henti perolehan peralatan pertahanan dari Norway wajar, tepat - Mohamed Khaled

MUAR, 17 Mei -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jiwa Murni MADANI Kementah di Felda Maokil hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamed Khaled keputusan itu dipersetujui Kabinet selepas Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya tiada lagi perolehan aset pertahanan dibuat daripada Norway. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA TINGGI: Tindakan kerajaan untuk tidak lagi meneruskan sebarang perolehan dan kontrak dengan Norway adalah wajar dan tepat berikutan negara itu dilihat tidak menghormati Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled keputusan itu dipersetujui Kabinet selepas Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya tiada lagi perolehan aset pertahanan dibuat daripada Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu yang telah ditempah Malaysia.

Beliau berkata Kabinet turut meneliti sama ada pendirian itu akan diperluaskan kepada kementerian lain, namun buat masa ini melibatkan Kementerian Pertahanan.

“Apabila mana-mana kontrak yang melibatkan Norway tamat, kerajaan mungkin tidak akan mendapatkan khidmat mereka atau menyambung kontrak itu.

“Ini satu usaha dan tindakan yang saya percaya sangat wajar dan tepat kerana Norway seolah-olah tidak menghormati negara kita dan saya berharap rakyat memahami serta memberikan sokongan,” katanya kepada pemberita pada program Ziarah Kasih di Felda Pasak di sini hari ini.

Semalam, jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Mohamed Khaled berkata Malaysia kesal dengan tindakan Norway kerana kontrak berkenaan telah dimeterai sejak 2018, termasuk pembayaran yang telah dibuat sebelum lesen eksport dibatalkan secara unilateral pada saat akhir tanpa sebarang makluman atau perbincangan dengan Malaysia.

Beliau berkata alasan Norway bahawa sistem peluru berpandu itu hanya dijual kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya, juga tidak meyakinkan kerana negara itu mengetahui keperluan Malaysia untuk memperkukuh keupayaan pertahanan, khususnya melibatkan rondaan dan keselamatan di Laut China Selatan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata pendirian Malaysia itu telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Luar Norway dan duta negara berkenaan kerana hubungan antara kedua-dua negara perlu berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.

“Kita sudah tidak lagi percaya kepada Norway,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement